Perkataan ihram berasal daripada perkataan Arab: أَحْرَمَ يُحْرِمُ إِحْرَامًا yang membawa maksud menjadikan ia haram. Iaitu apabila seseorang memulakan takbiratul ihram maka ia seolah-olahnya dengan rela hati mengharamkan apa-apa yang sebelum takbiratul ihram itu halal.
Contohnya seperti makan. Makan adalah halal dan minum juga adalah halal. Tetapi kalau seseorang memulakan takbiratul ihram maka seolah-olahnya dia dengan rela hatinya mengharamkan makan dan minum ke atas dirinya yang mana sebelum dia takbiratul ihram, ia adalah halal baginya. Ia juga merupakan satu keadaan yang perlu dimasuki orang Islam untuk melakukan Haji atau Umrah.
Adab- adab berihram dan sunat- sunatnya
- Mandi sunat ihram
- Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa semoga Allah menerima ibadat haji dan mempermudahkan urusannya.
- Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas tidak bersarung dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
- Disunatkan memakai haruman ketika berihram. Hadis Ya'la bin Umaiyyah r.a katanya: "Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berada di Ja'ranah dengan memakai jubah yang disapu minyak wangi atau dikatakan terdapat kesan kuning minyak wangi. Lalu dia bertanya: Apakah yang engkau ingin perintahkan kepadaku berhubung dengan ibadat Umrah? Pertanyaan itu tidak diperhatikan kerana waktu itu kebetulan baginda sedang menerima wahyu dan ditabiri dengan kain. Ya'la berkata: Betapa gembiranya aku kerana dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu. Umar berkata: Jadi kamu suka dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu?. Ketika itu Umar mengangkat hujung kain yang menutupi Rasulullah s.a.w, ternyata Rasulullah s.a.w seperti orang yang sedang tidur berdengkur. Seketika kemudian baginda terjaga lalu bertanya: Di mana orang yang bertanya tentang Umrah tadi? Bersihkan dirimu dari kesan kuning minyak wangi yang kamu pakai itu dan bukalah jubahmu. Lakukanlah Umrah kamu sebagaimana kamu mengerjakan fardu Haji” - Talbiah Hadis Abdullah bin Umar r.a: Lafaz Talbiah Rasulullah s.a.w ialah:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لا شَرِيكَ لَكَ
Larangan semasa berihram
- Memakai pakaian bersarung atau berjahit dan bercantum - Lelaki sahaja
- Menutup kepala atau sebahagian daripadanya - Lelaki sahaja
- Menutup muka - Wanita sahaja
- Memakai sarung tangan
- Memakai minyak di kepala atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi.
- Mencukur atau mencabut rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan. Firman Allah swt :
وَلاَ تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّى يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ
Maksudnya: “dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya” [2:196]
- Mengerat atau memotong kuku.
- Memotong/menebang/mengerat/mencabut pokok-pokok di Tanah Haram.
- Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Haram atau di Tanah Halal. Firman Allah swt :
لاَ تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ
Maksudnya: “janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika kamu sedang ihram.” [5:95]
- Melakukan pendahuluan persetubuhan. - Bersetubuh/berjimak. Firman Allah swt :
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh ), berbuat fasik dan berbantah bantahan di dalam masa mengerjakan haji” [2:197]
- Berkahwin/mengahwinkan/menerima wakil kahwin. Sabda Nabi saw:
لاَ يَنْكِحُ الْمُحْرِمُ وَلاَ يُنْكِحُ
Maksudnya: “Orang berihram tidak boleh berkahwin dan tidak boleh mengahwinkan” Bagi memahami apa yang berkaitan dengan hukum ihram, kita mesti membincangkan tentang miqat dan perkara yang haram di lakukan semasa berihram.
Miqat
Miqat (bahasa Arab: ميقات) merupakan sempadan bagi ibadah haji seseorang itu dikira bermula (batas-batas yang telah ditetapkan). Apabila melintasi miqat, seseorang yang ingin mengerjakan haji perlu mengenakan kain ihram mereka dan memasang niat. Miqat digunapakai bagi haji dan umrah.Miqat dibagikan kepada 2 :
1.Miqat Zamani (ﻣﻴﻘﺎﺕ ﺯﻣﺎﻧﻲ) - batas yang ditentukan berdasarkan waktu:
•Bagi haji, miqat bermula pada bulan Syawal sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah iaitu ketika ibadah haji dilaksanakan.
•Bagi umrah pula, miqat zamani bermula pada bila-bila masa sepanjang tahun memandangkan umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
2.Miqat Makani (ﻣﻴﻘﺎﺕ ﻣﻛﺎﻧﻲ) - batas yang ditentukan berdasarkan tempat:
•Bagi mereka yang duduk di Makkah, tempat untuk ihram haji adalah Makkah itu sendiri (rumah sendiri). Bagi umrah pupla ialah keluar dari tanah haram Makkah iaitu seelok-eloknya di Ji'ranah, Tan'eim atau Hudaibiyah.
•Bagi mereka yang datag dari sebelah timur seperti Malaysia, Singapura dan kebanyakan negara Asia lain, tempatnya adalah di Yalamlam (ﻳﻠﻣﻠﻢ) atau Jeddah (ﺟﺪﻩ).
•Bagi yang datang dari barat seperti Mesir, miqatnya di Juhfah (ﺟﺤﻔﻪ).
•Bagi yang datang dari selatan seperti Yaman, tempat untuk berihram adalah Qarnul Manazil (ﻗﺮﻦﺍﻠﻣﻨﺎﺯﻝ).
•Bagi yang datang dari Madinah, tempatnya di Dzulhulaifah Abyar 'Ali (ﺫﻭﺍﻟﺣﻠﻴﻔﻪ ﺍﺑﻳﺎﺭ ﻋﻠﻲ). •Bagi yang datang dari bahagian Iraq pula adalah di Dzatu 'Irq (ﺫﺍﺕ ﻋﺮﻕ).
Rukun-Rukun Haji
1. Niat Haji
Niat pada bahasa ialah qasad hati dan keazaman untuk melakukan sesuatu. Pada istilah syarak pula niat adalah qasad melakukan sesuatu disertai dengan melakukan perbuatan tersebut.
Dalam ibadat haji niat haji bermaksud berniat ihram dengan pekerjaan-pekerjaan haji. Ihram pula bermaksud memasukkan diri sesaorang ke dalam amalan-amalan haji dan menjadikan sesaorang terikat dengan beberapa peraturan di antaranya diwajibkan memelihara diri dari melakukan larangan-larangan ihram hinggalah ia mendapat tahallul dengan syarat-syaratnya.
Tidak seperti ibadat-ibadat lain berniat ihram haji atau umrah memestikan seseorang menyempurnakan semua amalan-amalan yang berkaitan dengannya. Ia tidak terbatal dalam apa keadaan sekalipun. Seseorang yang telah berniat haji terikat dengan kewajipan menyempurnakannya selama ia belum menunaikan semua rukun-rukun dan kewajipannya.
Contohnya seseorang yang telah berniat haji tidak bebas dari ihramnya dan tidak batal hajinya dengan hanya membatalkan niat haji. Niat haji hanya sah dilakukan pada bulan-bulan haji.
Bulan-bulan haji
Adalah tempoh di antara 1 Syawal hinggalah fajar 10 Zulhijjah. Seseorang yang berniat haji hendaklah seorang Islam dan berakal. Ini bermaksud orang bukan Islam tidak sah hajinya.
Begitulah juga kanak-kanak yang belum mumaiyiz dan orang gila tidak sah berniat haji sendiri. Mereka hendaklah diniatkan ihram haji oleh wali mal (harta) mereka. Kanak-kanak yang mumayyiz niat ihramnya sah jika mendapat keizinan wali malnya jika tidak niatnya juga tidak sah.
Wali mal adalah bapanya, datuknya, wasi, hakim atau naibnya. Selain dari wali mal ini tidak sah meniatkan haji kanak-kanak dan orang gila walaupun mereka adalah saudara dan bapa saudaranya.
Wali mal yang telah meniatkan haji kepada kanak-kanak dan orang gila wajib membawanya ke semua tempat-tempat ibadat haji seperti Arafah, Muzdalifah, Mina dan Jamarat. Ia juga wajib membawanya menunaikan tawaf dan saie setelah ia menunaikan tawaf dan saei untuk dirinya. Walaupun begitu ia boleh memberi izin kepada orang lain melakukan perkara-perkara tersebut.
Sebelum berniat haji jemaah disunatkan mempersiapkan dirinya dengan beberapa yang dikenali sebagai perkara- perkara sunat sebelum berniat ihram. Setelah berniat ihram jemaah disunatkan memperbanyakkan talbiah dan memanjatkan doa kepada Allah.
Talbiah yang diucapkan adalah lambang ketulusan hati dan tekad untuk mendapatkan reda Allah. Semua makhluk Allah termasuklah batu dan pokok akan menjadi saksi di hari kiamat terhadap talbiah yang diucapkan. Talbiah ini hendaklah di teruskan hinggalah jemaah mula melontar al Jamratul Kubra pada tanggal 10 Zulhijjah.
2. Wuquf
Wuquf bermaksud berada di bumi Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sedetik sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Bagi jemaah haji, yang paling afdal adalah berwuquf pada sebahagian siang 9 Zulhijjah dan malam 10 Zulhijjah. Wuquf tidak sah kecuali seseorang itu telah memenuhi syarat-syarat berikut:
1.Telah berniat dengan ihram haji.
2.Berkeahlian untuk beribadat . Ini bererti seorang yang gila, pitam dan mabuk yang hilang akal tidak sah berwuquf.
3.Berada di dalam sempadan Arafah.
4.Pada waktu yang telah ditentukan.
Para fuqaha menyatakan jika seorang gila berwuquf jadilah hajinya sunat seperti haji kanak-kanak yang belum mumaiyiz dengan syarat ia telah diihramkam oleh wali malnya. Orang pitam yang tidak siuman sehingga tamat waktu wuquf dikira tidak mendapat haji fardu mahu pun sunat kerana tidak sah wuqufnya. Orang yang mabuk atau pening yang tidak hilang akalnya sah wuquf dan mendapat haji fardu.
Amalan semasa wuquf
Semasa wuquf para jemaah di kehendaki menjalaninya dengan hati yang pasrah dan memberi tumpuan kepada ibadah. Apabila masuk sahaja waktu zuhur yang juga menandakan masuknya waktu wuquf jemaah akan mendengar khutbah Arafah.
Azan dan iqamat akan dilaungkan semasa imam membacakan khutbah yang kedua. Setelah itu para jemaah akan menunaikan solat zuhur dan diiringi dengan solat asar secara jamak takdim. Sesudah solat jemaah akan memberi tumpuan untuk memperbanyakkan doa.
Jemaah diingatkan bahawa waktu wuquf dan berada di Arafah pada masa tersebut adalah waktu yang amat mustajab doa. Lantaran para jemaah hendaklah merebut peluang ini terutamanya ketika matahari terbenam pada hari wuquf.
Antara amalan-amalan yang dapat dilakukan adalah:
1.Bertalbiah
2.Berdoa
3.Berzikir
4.Solat berjemaah
5.Beristighfar
3.Tawaf (Ifadah) di Baitullah.
Tawaf adalah rukun yang ketiga bagi fardu haji dan yang kedua pentingnya selepas wukuf di Arafah. Tawaf ertinya mengelilingi Ka'abah sebanyak tujuh kali pusingan. Tawaf ini hendaklah dilakukan atau dilaksanakan selepas melontar Jamrah Aqabah, bercukur atau menggunting rambut dan berkorban pada pagi 10 Zulhijjah ataupun selepas melontar kesemua Jamrah dari 11 hingga 13 Zulhijjah.
Syarat-syarat Tawaf
Permulaan waktu tawaf rukun ialah selepas tengah malam hari raya qorban, iaitu selepas wukuf di Arafah. Tiada waktu akhir baginya, iaitu boleh ditangguhnya kepada bila-bila masa, tetapi jika ditangguhkan tawaf ini, maka belum boleh bebas lagi dari beberapa pantang larang ihram, seperti nikah, bersetubuh dan bersentuh-sentuhan antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik serta ada syahwat.
Syarat-syarat tawaf itu ialah :-
1.Suci dari hadas kecil dan besar,
2.Menutup aurat seperti di dalam sembahyang
3.Suci dari najis pada badan, pakaian dan tempat
4. Hendaklah dimulakan tawaf itu dari tempat yang sejajar atau setentang dengan Hajar Aswad yang ada pada satu penujuru Ka'bah itu. Sekiranya seseorang itu memulakan tawafnya pada tepi atau sudut Ka'bah yang tidak bersetentang dengan hajar aswad, maka tidaklah dikira pusingan itu hinggalah dia sampai pada sudut Hajar Aswad itu maka barulah disitu dikira permulaan tawafnya.
5.Hendaklah Ka'bah sentiasa di sebelah kiri ketika berjalan kehadapan mengelilinginya dan tidaklah sah selain daripada yang demikian, seperti berjalan dengan mengundur atau berjalan sedang ka'bah dikanannya atau lain-lainnya.
6.Ketika hendaklah memulakan tawaf, seseorang itu kenalah berdiri dengan bahu kirinya berbetulan dengan hajar aswad, walaupun Hajar Aswad itu jauh daripadanya.
7.Wajiblah tawaf itu dikerjakan sebanyak tujuh kali pusingan
8. Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan diluar dari bahagian Ka'bah seperti Hijir Ismail dan Syazarwan (tembuk yang dijadikan bingkai di kaki Baitullah, kerana termasuk di dalam ka'bah.)
Jenis-jenis tawaf adalah seperti berikut:-
1.Tawaf Ifadah (Rukun) ialah tawaf bagi mereka yang balik dari Arafah iaitu tawaf rukun bagi mereka yang mengerjakan haji (dinamakan tawaf rukun umrah bagi mereka yang mengerjakan umrah)
2.Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang ke Mekah mengunjungi Baitullah bagi mereka yang mengerjakan haji ifrad dan haji qiran disunatkan tawaf qudum,
3.Tawaf sunat iaitu tawaf biasa yang dilakukan pada bila-bila masa yang disukai.
4.Tawaf Wada' (tawaf selamat tinggal) ialah tawaf yang wajib dilakukan apabila seseorang itu hendak meninggalkan Mekah kerana menghormati dan memuliakan Baitullah Al-Haram.
Sunat-sunat dalam Tawaf
1.Menghadap Hajar Aswad diwaktu mulai tawaf sambil melakukan istilam (mengucup hajar aswad)
2.Meletakkan pertengahan kain selendang di bawah keyiak kanan dan kedua-dua hujungnya di atas kiri dengan menjadikan bahu kanan terbuka bagi lelaki. Istilah bagi perbuatan ini dinamakan ITTIBAK.
3.Berjalan cepat, seperti berjalan-jalan anak.
4.Berjalan kaki ketika tawaf (kecuali bagi mereka yang uzur bolehlah diusung)
5.Berturut-turut tujuh kali pusingan tawaf itu.
6.Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
7.Membaca zikir dan doa. 8.Sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai tawaf dan sunat pula sembahyang itu dibelakang Maqam Ibrahim atau di mana-mana sahaja di dalam Masjidil Haram.
4.Saie di antara Bukit Safa dan Marwah
Rukun Haji yang keempat ialah sa'ie, iaitu berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Marwah.
Hukum SA'IE
Sa'ie antara Safa dan Marwah adalah salah satu rukun dari rukun-rukun haji dan umrah. Apabila seseorang menengerjakan haji atau umrah tidak mengerjakan sa'ie antara kedua bukit ini, batallah haji dan umrahnya.
Syarat-syarat SA'IE
1.Hendaklah dilakukan selepas tawaf rukun dan boleh juga selepas tawaf qudum bagi yang mengerjakan haji ifrad.
2.Dimulai dari Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah- jarak antara Safa dan Marwah lebih kurang 420 meter.
3.Cukup 7 kali perjalanan dengan yakin iaitu dari safa ke marwah sekali dan dari marwah ke safa sekali
4.Hendaklah sa'ie hingga sampai penghujung tempat sa'ie di Bukit Safa dan Bukit Marwah pada kawasan yang dituntuti pada tiap-tiap kali.
5.Tidak berniat lain yang boleh memesongkan tujuan sa'ie
6.Hendaklah dilakukan sa'ie itu di mas'a sendiri iaitu tempat yang terbentang antara safa dan marwah bernama Al- Wadi
Sunat-Sunat dalam mengerjakan SA'IE
Perkara-perkara yang sunat dilakukan semasa mengerjakan sa'ie diantaranya ialah:-
1.Berada dalam keadaan suci, yakni berwuduk.
2.Keluar ke tempat sa'ie dengan melalui pintu safa
3.Menaiki Bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke anak-anak batu bukit dan berdoa.
4.Setiap kali berada di Bukit Safa dan Marwah hendaklah menghadap kiblat ( Baitullah) dan mengangkat kedua belah tangan serta bertakbir 3 kali dan membaca kalimah tauhid. 5.Berlari-lari anak atau berjalan cepat di satu tempat bertanda hijau bagi lelaki.
6.Mualat antara sa'ie dengan tawaf.
7.Bergunting atau Bercukur Rambut
(Tahallul) Rukun haji yang kelima ialah tahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai, tetapi yang sebaik-baiknya bercukur semuanya sekali bagi lelaki. Bagi wanita pula tidak dihendakki bercukur, cuma menggunting rambut sahaja. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membenarkan Rasul-Nya (dalam) mimpinya dengan kebenaran (iaitu) demi seseungguhnya kamu akan ke Masjidil Haram insya Allah ( jika dikehendaki Allah) dengan aman sentosa serta bercukur dan menggunting (rambut) kepalamu tanpa takut sedikit pun" (Surah Al- Fath ayat 27)
Waktu Bercukur
Bagi orang yang mengerjakan haji, ialah selepas melontar Jumrah Aqabah atau tawaf rukun. Ini dinamakan tahallul awal. Bagi orang yang tidak membuat tahallul awal dalam mengerjakan haji, ialah selepas sa'ie. Demikian juga waktu bercukur bagi orang yang mengerjakan umrah.
Bagi orang yang membuat haji Ifrad ialah selepas tawaf rukun, jika dia telah mengerjakan sa'ie selepas tawaf qudum dahulu. Dengan bercukur atau bergunting itu maka seseorang itu telah bertahallul dan tamatlah pantang larang semasa berihram baginya.
Peringatan
Seseorang itu hendaklah bercukur atau bergunting untuk dirinya dahulu sebelum dia boleh mencukur atau mengguntingkan orang lain.
Tahallul HAJI
Tahallul haji terbahagi kepada dua bahagian iaitu: " Tahallul Awal " Tahallul Thani"
Tahallul Awal (pertama) ialah apabila seseorang itu selesai mengerjakan dua dari tiga perkara berikut:-
i) melontar jumrah Aqabah.
ii) tawaf rukun.
iii) bercukur atau bergunting
Tahallul Thani (Kedua) ialah apabila seseorang itu selesai mengerjakan ketiga-tiga perkara yang tersebut di atas. Setelah selesai melakukan tahallul awal (pertama), para haji bolehlah melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam masa ihram, melainkan tiga perkara masih terlarang, iaitu:
1.Berkahwin, mengahwinkan (menjadi wali) dan menerima wakil kahwin.
2.Melakukan perkara-perkara permulaan persetubuhan seperti bercium-ciuman, bercumbu- cumbu dan sebagainya dan.
3.Bersetubuh Sebaliknya apabila telah selesai melakukan tahallul kedua, maka tidak ada lagi pantang larang semasa berihram itu sama sekali.
Sunat-sunat semasa bercukur
Perkara-perkara yang sunat dilakukan semasa bercukur atau bergunting rambut itu diantaranya ialah:-
1.Memulakan bercukur di sebelah kanan, kemudian baru yang kiri,
2.Menghadap kiblat (Ka'bah)
3.Bertakbir serta berdoa,
4.Mengandam misai dan memotong kuku, Bagi orang yang berkepala botak, maka sunat melalukan pisau cukur di atas kepalanya, walaupun tiada berambut.
5.Tertib Rukun haji yang keenam ialah tertib pada kebanyakan rukun, iaitu didahulukan niat ihram dari rukun-rukun yang lain.
Didahulukan wukuf dari tawaf ifadah dan didahulukan tawaf dari sa'ie - tetapi sa'ie haji boleh didahulukan dari wukuf dan tawaf bagi orang yang mengerjakan haji ifrad. Sa'ie itu dikerjakan selepas tawaf Qudum.
Dengan berbuat demikian tidaklah perlu lagi dilakukan sa'ie selepas tawaf rukun nanti. Berlainan dengan rukun-rukun Umrah, wajib dikerjakan satu persatu mengikut tertibnya.
Wallahu’alam...
Bersambung di Lambaian Kaabah IV nanti..InsyaAllah...
0 comments:
Post a Comment