Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger


widget

.:: KEPIMPINAN ULAMA' ::.

Photobucket

.:: TV PR ::.


Photobucket

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:


.:: TENTANG DIRIKU ::.

Tadika Chung Hwa, Kota Bharu [ 1986 ]
SRJK (c) Chung Hwa, Kota Bharu [ 1987 - 1990 ]
Sek. Keb. Rambutan Rendang, Kota Bharu [ 1990 - 1993 ]
Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu [ 1994 - 1996 ]
SMA Sungai Merab Luar Sepang, Selangor [ 1997 -1998 ]
Darul Quran Wal Hadis, Pasir Pekan [ 1999 - 2001 ]
Maahad 'Ali Dirasat Islamiah Wal Arabiah, Perak [ 2002 ]
Universiti Al-Azhar Cawangan Tanta, Mesir [ 2003 - 2009 ]

Sunday, August 30, 2009

Memahami Hakikat Kemerdekaan Berpandukan Sirah Nabi S.A.W



Esok adalah tarikh yang tidak pernah luput dari ingatan setiap rakyat Malaysia, 31 Ogos adalah tarikh sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi negaraku tercinta, ia disambut saban tahun dan buat kali pertama sambutan pada tahun ini diadakan di perkarangan Bangunan Parlimen Malaysia.


Realiti Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan kini


Hakikat sebenar kemerdekaan mengikut kacamata Islam, ialah membebaskan manusia dari pengabdian sesama makhluk kepada Al-Khaaliq (Allah).

Jika dilihat dalam konteks negara kita, apakah kita berusaha ke arah itu? Rakyat dipaksa untuk menyokong pemerintah jika hendakkan bantuan bagi mengatasi bebanan hidup. Ugutan ini jelas bertentangan dengan hakikat kemerdekaan yang dianjur oleh Islam, adakah mereka (pemerintah) lupa bahawa tanggungjawab dan amanah yang mereka pundak sekarang akan menjadi bebanan di akhirat nanti? Sedarlah wahai pemimpin negaraku, kembalilah segera selagimana pintu taubat itu masih terbuka luas.


Hiburan yang melalaikan

Setiap kali sambutan kemerdekaan, rakyat sentiasa dihidangkan dengan acara hiburan yang berlebih-lebihan, hasilnya akan merosakkan minda dan akhlak muda-mudi yang hanyut dengan hiburan yang kadang-kadang tidak ada kaitan langsung dengan maksud kemerdekaan. Bagi penganjur acara sambutan, maksud kemerdekaan yang mereka fahami adalah dengan mereka bebas untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah s.w.t. Na'uzubiLLAH

Adakah generasi begini yang diharapak ( gambar hiasan )

Pelbagai tema dan motto sambutan ditonjolkan setiap tahun, namun ianya langsung tidak memberi apa-apa kesan yang mendalam kepada rakyat kerana mereka mabuk dek acara hiburan yang melampaui batas agama dan adat. Kaedah mendidik rakyat dengan membelakang ajaran al-Quran dan as-Sunnah, maka natijahnya akan melahirkan masyarakat yang rosak akhlak dan hidup penuh dengan kesesatan.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:- "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku."

Ianya telah dijanjikan oleh Nabi s.a.w sendiri kepada umatnya, namun apa yang menyedihkan ia diketepikan. Sesat di sini bukan hanya terlibat dengan ajaran sesat sahaja, tetapi jika kita mengaku sebagai muslim dan tidak menghiraukan ajaran agama maka kita juga dikatakan berada dalam kesesatan. Ulama yang menyatakan kebenaran diperlekeh dan difitnah sebaliknya ulama yang menyembunyikan kebenaran dijulang, inilah fitnah akhir zaman yang melanda umat Islam kini.

Pengajaran Dari Sirah Nabi s.a.w dan Sahabat r.a.


Sirah Nabi s.a.w dan para sahabat r.a banyak menyingkap kepada kita semua akan hakikat sebuah kemerdekaan yang dituntut oleh Islam, Peristiwa hijrah itu sendiri menjelaskan bahawa untuk mencapai kemerdekaan yang hakiki haruslah membebaskan diri dari pengabdian sesama makhluk kepada Al-Khaliq. Kehidupan di Kota Mekah sangat menyeksakan buat mereka, sehingga turunnya perintah dari Allah kepada Rasulullah s.a.w supaya berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dengan penuh ketaatan mereka berhijrah meninggalkan tanahair tercinta demi untuk memerdekakan diri dari belenggu jahiliyah dan kesesatan. Namun ianya tidak berhenti begitu sahaja, Nabi s.a.w berjaya mendirikan sebuah kerajaan di Madinah serta membina kekuatan berasaskan iman dan taqwa kepada Allah. Akhirnya mereka berjaya membebaskan dan memerdekakan Kota Mekah.

Peristiwa pembukaan Kota Mekah sangat masyhur dalam sejarah Islam dan dirakamkan oleh Allah dalam surah An-Nasr:-


"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah) [1], Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai [2], Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat [3]."


Sesungguhnya jika kita menjadi ajaran Islam sebagai tatacara kehidupan, maka insyaAllah taala hidup kita akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Bersempena dengan bulan ramadhan yang barakah ini, marilah kita menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ini dengan penuh tawaduk serta menjadikan sirah Nabi s.a.w dan sahabat r.a sebagai pengajaran yang sangat berguna untuk memahami hakikat kemerdekaan yang sebenarnya. Wallahu'alam..

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KALI KE 52
dari Rakyat Prihatin, IBNUR RAHMAT

Read More......

Friday, August 28, 2009

Tazkirah Ramadhan...


PUASA DAN PENGENALAN TAQWA


Assalamualaikum...

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, sudah seminggu kita menjalani ibadah puasa. Semoga ramadhan kali ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:-

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu ibadat puasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada mereka-mereka sebelum daripada kamu, semoga kamu dikalangan mereka-mereka yang bertaqwa."[al-Baqarah: 183]

Allah s.w.t merangkumkan kewajipan ibadat puasa dengan taqwa mengambarkan betapa besarnya kelebihan ibadat puasa di sisi Allah s.w.t, sehingga Allah menyebutkan barang siapa yang berpuasa dalam ertikata bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mengawal diri dan nafsu dari melakukan maksiat terhadap Allah adalah dikalangan mereka yang bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaanNya.

Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya makam taqwa di sisi Allah dan betapa beratnya timbangannya dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa serta salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa.

Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Takrif Taqwa

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” [At-Tahrim: 6]

Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan. Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata lain, perkara yang disuruh itu ialah membinasifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Perkataan Taqwa dalam al-Quran

Terdapat banyak perkataan taqwa dalam al-Quran antara surah yang paling banyak perkataan taqwa ialah surah Baqarah, Maidah dan syu'ara, Apa yang penting di sini sejauhmanakah kefahaman kita dengan taqwa dalam setiap ayat yang difirmankan oleh Allah s.w.t?

Pandangan ulama berkenaan dengan taqwa antaranya:

- Saidina Ali berkata: Taqwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.

- An-Nasr Abazi berkata: Taqwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah.

- Abu Bakar Muhammad ar-Rauzabari berkata: Taqwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.

- Talq bin Habib berkata: Taqwa ialah amalan dengan ketaatan Allah atas cahaya Allah.

- Abu Hafs berkata: Taqwa hanya pada halal semata-mata dan bukan yang lain.

- Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: Bagi taqwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan serta batinnya dengan niat dan ikhlas.

- Abu al-Husein al-Zanjani Rahimahullah berkata: Siapa yang modalkan hartanya taqwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.

- Al-Wasiti Rahimahullah berkata: Taqwa ialah seseorang memelihara dari takwanya yakni dari melihat ketaqwaannya.

- Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: Taqwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.

- Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab sebutkan ciri-ciri taqwa kepadaku? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hari bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah ketaqwaan.

sesungguhnya taqwa kepada Allah adalah pengawal diri manusia dari melakukan maksiat terhadap Allah s.w.t, maka hasil daripada taqwalah membentuk peribadi manusia agar menjadi seorang hamba yang beriman, beramal soleh, bersikap terpuji dan sentiasa akur dengan perintah serta larangan Allah s.w.t. Islam sahaja dalam diri seseorang itu masih belum mencukupi, apa yang perlu ialah menjadi seorang muslim, mukmin dan muttaqin.

Dengan ketaqwaanlah maka segala penyakit sosial dalam masyarakat kita kini, sikap taqwa perlu ada dala setiap diri seorang muslim, tidak kira dia seorang pemimpin, rakyat jelata atau sesiapa sekalipun. Masyarakat kini dilanda penyakit yang berbagai-bagai akibat kurangnya rasa taqwa kepada Allah, sebagai contoh gejala wabak H1N1 adalah salah satu contoh bala yang Allah s.w.t turunkan kepada kita kerana kelalaian dan kealpaan kita terhadap ketaqwaan kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:-

"Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." [Al-Baqarah: 197]

Apabila kita semua kembali bertemu di hadapan Allah kelak, kita semua harus membawa bekal dan Allah s.w.t telah nyatakan dalam ayat di atas sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa kepada Allah.

Beberapa faktor bagi mendapat ketaqwaan:

* Merasakan pengawasan daripada Allah s.w.t Yang Maha Esa Lagi Maha Tinggi

* Melaksanakan ibadat yang wajib dan juga yang sunat dengan penuh keikhlasan.

* Menjauhi segala maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin seperti riak, ujub, takbur dan lain-lain.

* Sentiasa mengkaji sifat orang yang bertakwa dan sejarah mereka seperti sejarah para anbiya terutamanya sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para salafus salih terutamanya para sahabat.

* Sentiasa berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Pada saat yang sama menjauhi daripada golongan yang fasik dan yang derhaka kepada Allah.

* Banyak tadabbur dan mengkaji ayat-ayat Allah sama ada ayat-ayat kaumiyah (alam) atau pun ayat-ayat maqru’ah (ayat-ayat al-Quran) kerana ia boleh mendatangkan keinsafan dan yang lebih utama membawa kepada makrifatullah. Dengan makrifah seseorang sudah pasti berjalan atas keredaan Allah tanpa merasa goyah dan boleh terpedaya oleh musuh yang nyata yakni syaitan.

Seterusnya kaitan puasa dengan taqwa amatlah sinonim ini kerana orang yang berpuasa bersungguh-sungguh menjaga pantang larang dan melaksanakan adab-adab puasa sama ada yang zahir atau batin selaras dengan saranan Rasulullah.

Justeru puasa amat mudah untuk menatijahkan taqwa yang akan menjadi kemuncak perhambaan manusia kepada Tuhannya.

Firman Allah lagi yang bermaksud:-

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)."(Al-Hujuraat: 13)

Dapat kita lihat betapa tingginya darjat taqwa di sisi Allah, untuk mencapai syurga Allah yang maha Agung, maka tidak dapat tidak kita harus sentiasa berusaha untuk mencapai darjat dan martabat taqwa sebagaimana janji Allah dalam al-Quran yang bermaksud:-

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini."[An-Naba': 31]
"(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur."[An-Naba': 32]
"Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya."[An-Naba': 33]
"Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman."[An-Naba': 34]
"Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta."[An-Naba': 35]
"Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)."[An-Naba': 36]

SubhanaLLAH! Sungguh hebat nikmat yang Allah janjikan kepada hambanya yang bertaqwa. Dengan taqwa seolah-olah manusia mendapat pelbagai jenis keistimewaan sehingga Imam al-Ghazali menyebut didalam kitabnya Minhaj al-Abidin antaranya:

* Mendapat sokongan dan dokongan daripada Allah.

* Dikurniakan kemudahan dalam kehidupan.

* Dimurahkan rezeki.

* Dimenangkan ke atas musuh.

* Diberi hidayah dan taufik.

* Dikurniakan syurga pada hari akhirat.

* Diselamatkan daripada neraka.

Oleh itu, marilah sama-sama meningkatkan prestasi ibadat puasa kita untuk mencapai ketaqwaan dan dengannya kita menjadi golongan yang meraih kebahagiaan dunia seterusnya merentasi akhirat. Wallahu'alam

Read More......

Mari Mengenali Ulama Nusantara...


HJ UMAR BESUT KETURUNAN BANGSAWAN PATANI


Haji Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu

Gambar hiasan

Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293 Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi) Beliau meninggal dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5 Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.

Pada namanya terdapat istilah "Cik Wan" atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak memerintah negeri. Istilah 'Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah 'Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu kekeluargaan. 'Wan' sudah lupus haknya untuk menjadi raja dalam Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Negara Patani.

Daripada datuk nenek ulama inilah yang mencetuskan nama 'Besut', yang sekarang berada dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut 'sut', ertinya tidak ada lagi sesudahnya atau penghabisan, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.

Cik Wan yang berasal dari Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang berada di dalamnya.

PENDIDIKAN

Haji Umar memperoleh pendidikan asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung hingga yang lebih atas.

Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Ahmad al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak, maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.

AKTIVITI

Setelah Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut. Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.

Sistem pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok beliau.

Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau. Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan Mahalli.

Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan, Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.

Umar Besut selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab, beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun ada orang menafikan Tuan Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.

Selain yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.

KETURUNAN DAN MURID-MURID

Umar Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad. Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama. Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac 2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu menurutnya sangat banyak keistimewaannya.

Perkahwinan Umar Besut dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Ustaz Haji Abdul Aziz adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah agama di Kelantan.

Sebagai guru pengajian pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan. Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.

Read More......

FATWA SYEIKH AL-QARADAWI MENGENAI WAKTU BERBUKA PUASA BAGI MEREKA YANG BERADA DI UDARA

As-syeikh Dr. Yusuf Al-qaradawi, ketua persatuan ulamak seduni telah mengeluarkan fatwa pada hari ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.

Asyeikh berkata, sesungguhnya dia dikejutkan ketika sekembalinya beliau daripada Kaherah ke Doha pada awal ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan islam bahawa sekarang telah masuknya waktu berbuka puasa, dalam waktu yang sama matahari masih terpampang dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatussyeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang first class yang duduk bersebelahannya. Syeikh berkata, tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari, sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk, adakah sah kamu solat maghrib pada tika ini? Jawab mereka, tidak!! Maka aku menjawab balik, demikianlah juga berbuka puasa, tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya.

Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan bahawa manusia itu setiapkali dia berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan lewat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau ditempat –tempat yang tinggi maka akan lewatlah terbenamnya matahari dari penglihatan mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar.

Akhirnya, Al-qaradawi telah meminta pesawat Qatar(yang berlaku kejadian ini) dan juga pesawat-pesawat arab lain supaya memperingatkan pilot-pilot supaya berhati-hati dengan perkara ini dan memastikan waktu berbuka puasa betul-betul selepas terbenamnya matahari. "http://yusuf2013.blogspot.com/"

Read More......

Monday, August 24, 2009

Harapan Kepada Pengundi Permatang Pasir


Assalamualaikum...

Salam ramadhan buat semua pengundi DUN Permatang Pasir yang beragama Islam dan salam sejahtera kepada yang bukan Islam...Ibnur Rahmat ucapkan selamat mengundi pada esok hari semoga sinar keberkatan Ramadhan al-Mubarak memgiringi kemenangan Islam InsyaAllah.

Marilah kita seluruh umat Islam sama2 kita bermunajat kepada Allah semoga diberikan kemenangan kepada Parti Islam Semalaysia pada pilihanraya DUN Permatang Pasir sebagaimana Allah s.w.t memberi kemenangan kepada tentera Islam di medan peperangan Badar..InsyaAllahu taala...!!!

Harapan kepada semua pengundi,agar membuat pilihan yang bijak. Usahlah tertipu dengan janji-janji kosong dan propanganda Barisan Nasional. Mereka bukannya hendak membantu rakyat, bahkan untuk mengekalkan kuasa bagi menindas dan menzalimi rakyat. Ingat, tanggungjawab untuk memenangkan perjuangan Islam terletak di bahu anda semua para

pengundi Permatang Pasir.Jangan beri ruang kepada perjuangan taghut untuk kembali menguasai dewan undangan negeri Permatang Pasir yang sudah kita menangi sudah 3 penggal, semoga anda semua mempertahankan kemenangan ini.

SALAM PERJUANGAN DAN SELAMAT MENGUNDI SERTA SELAMAT BERPUASA DARI IBNUR RAHMAT DAN TEMAN2 DI BUMI ANBIA'

Read More......

Tuesday, August 18, 2009

Putar belit: Nik Aziz mahu saman akhbar


Read More......

Monday, August 17, 2009

Ihya' Ramadhan Di Serambi Mekah


Rasai kelainan suasana Ramadhan di QARYAH RAMADHAN di Stadium Sultan Muhamad Ke IV.

Khemah terawikh berhawa dingin beraroma haruman timur tengah dan berimamkan iman khas dari negara Mesir.

Nikmati makanan citarasa arab di Mubarak Cafe yang berkonsepkan dekorasi arab.

Bermula jam 12 malam setiap malam Relay Al Quran oleh para huffaz.

Sepetang Di Ambang Iftar setiap Ahad, Selasa dan Khamis mempersembahkan nasyid Bersama Advice, talkshow Bual@Bicara Remaja dan Interaktif Nisa. Menampilkan tetamu-tetamu undangan, persembahan khas, interaktif audien dan pelbagai slot menarik yang turut menawar hadiah.

Wacana Mukjizat Al Quran dan Forum Badar Qubra.

QARYAH RAMADHAN juga menyediakan hidangan iftor (berbuka puasa) setiap hari kepada pengunjung.

Dan pelbagai lagi acara mengamit anda ke QARYAH RAMADHAN

SELAMAT BERKUNJUNG KE QARYAH RAMADHAN

Read More......

Sejauhmanakah Kebenaran Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz ?


Tuan Guru Nik Aziz hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa ahli UMNO tidak akan masuk syurga dan dakwah Islam yang dibawa oleh Umno sangat berbeza dengan dakwah Islam yang dibawa Pas.

Di sini ibnur rahmat menyatakan sokongan dan memahami akan kenyataan Tok Guru tersebut, kerana setiap ahli Umno yang menyokong dasar parti tersebut yang terang-terang tidak menjadi Islam dasar perjuangan mereka akan menghadapi masalah di padang mahsyar kelak. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." [ Hud - 113 ]

Berdasarkan maqasid syar'iah yang menitik berat soal kepentingan menjaga agama dan kita dapat lihat Umno telah mengabaikan salah satu maqasid syar'iah dengan tidak menjadikan Islam sebagai perlembagaan mereka tetapi hanya memperalatkan Islam untuk menarik perhatian umat Islam di kalangan rakyat. Firman Allah s.w.t yang bermaksud lagi:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."
[ Baqarah - 208 ]


Allah s.w.t menegaskan supaya kita melaksanakan segala perintahnya dan jangan kita hanya mengambil sebahagian daripadanya yang sesuai dengan kehendak nafsu sahaja.

Jika ingin disebut di sini, perjuangan Umno itu sendiri sudah jauh menyeleweng kerana mereka mengenepikan Islam sebagai perjuangan belum lagi pergi kepada perkara-perkara lain.

Sepanjang ibnur rahmat dilahirkan ke dunia sehinggalah berumur 28 tahun, tidak pernah kedengaran di telinga ini ada di kalangan ahli Umno yang berani mempertikai dasar dan perjuangan Umno bahkan jika ada sekalipun pasti ahli tersebut akan dipecat keahliannya. Amat mustahil untuk mengIslamkan perjuangan Umno selagi para pemimpinnya tidak mahu tunduk kepada ajaran al-Quran sebagai dasar.Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis dari himpunan Hadis 40 iaitu hadis ke 22 dalam tajuk "Amalan Yang Membolehkan Masuk syurga" yang bermaksud:

"Daripada Abi 'Abdillah bin Jabar bin Abdillah al-Ansari r.a : "Bahawa ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w katakan: "Apakah pandanganmu apabila saya solat yang wajib dan saya berpuasa ramadhan, saya menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram dan saya tidak menambah sesuatu lebih daripada yang demikian itu adakah saya akan masuk syurga ? sabdanya: "Ya" [ Sahih Muslim ]

Jelas kepada kita semua, bahawa amalan yang membolehkan masuk syurga adalah menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Apa yang dapat kita lihat, sejauhmanakah usaha Umno mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah? Walaupun tidak dinafikan usaha-usaha mereka dalam mengembangkan syiar Islam. Mereka seolah-olah hanya menjurus kepada soal-soal makruf namun mengenepikan soal-soal pencegahan kemungkaran. Secara berangkai, Allah s.w.t bila menyebut tentang menyeru kepada yang makruf maka Allah juga akan menyatakan tentang menyeru kepada mencegah kemungkaran. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." [ Hajj - 41 ]

Sesungguhnya ibnur rahmat melihat kenyataan Tuan Guru tersebut adalah bukan suatu kenyataan politik bahkan merupakan satu peringatan terhadap mereka yang sengaja mengenepikan Islam sebagai dasar perjuangan politik. Oleh itu, kepada ahli Umno yang begitu taat setia kepada partinya, berfikirlah dengan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu semua. Buat apa kamu semua berada dan duduk di dalam sebuah bahtera yang nyata tidak akan menjadi penyelamat kepada kamu semua. Ayuh bangkitlah, tinggalkan perjuangan taghut yang mengenepikan syariat Allah dari dilaksanakan dimuka bumi ini.

Read More......

Sengit di Permatang Pasir, kata semangat buat semua petugas Pakatan Rakyat

SATU LAWAN SATU.... Calon PAS, Salleh Man (kiri) bersalaman dengan calon Barisan Nasional,
Rohaizat Othman (kanan) selepas menyerahkan borang pencalonan masing-masing
di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam di Pulau Pinang hari ini.

Hari ini adalah hari pernamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Permatan Pasir, pertembungan satu lawan satu antara calon PAS dan calon Barisan Nasional. Pas diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ust. Salleh Man manakala Barisan Nasional diwakili Rohaizat Othman setiausaha UMNO Permatang Pauh.


Pertembungan yang dijangka sengit, seperti mana yang kita tahu UMNO dan Barisan Nasional akan menurunkan jentera kerajaan untuk berkempen habis-habisan bagi merampas kerusi DUN tersebut yang telah dimenangi oleh PAS selama tiga penggal berturut-turut. Sekalung al-Fatihah untuk Arwah Dato Hj Hamdan Abd Rahman yang merupaka bekas ahli dewan undangan negeri Permatang Pasir, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya amin.

Buat para petugas PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK DUN Permatang Pasir, diucapkan selamat bertugas dan berjuang untuk mempertahankan kemenangan kita sebelum ini. Setiap titik peluh dan keringat dalam tugasan antum semua akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t. Banyakkanlah bermunajat kepada Allah lebih-lebih lagi kita kini diambang ramadhan, oleh kerana kita akan bertempur dalam bulan yang sangat mulia di sisi Allah ini maka ambillah semangat dan roh perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang sama-sama berjihad dalam peperangan Badar.

SEMOGA KEMULIAAN RAMADHAN KALI INI DIHIASI DENGAN KEMENANGAN ISLAM...TAKBIR..!!!! ALLAHUAKBAR..!!!

Salam perjuangan,
IBNUR RAHMAT

Read More......

Saturday, August 15, 2009

Ahlan Ya Ramadham...









Read More......

Friday, August 14, 2009

al-Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim



Sekalung takziah dari Ibnur Rahmat dan teman2 di Mesir buat keluarga vokalis kumpulan nasyid Rabbani Allahyarham Ust. Asri Ibrahim dengan musibah yang mengejut ini. Kami doakan semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang2 yang beriman dan para syuhada insyaAllah...Kami harap keluarga arwah dapat bersabar dengan ketentuan Allah ini...sesungguhnya:-

" Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati"

Read More......

Sunday, August 2, 2009

TAHNIAH RAKYAT MALAYSIA.....MANSUHKAN ISA


Tahniah Ibnur Rahmat dan pelajar-pelajar di bumi Mesir ucapkan kepada rakyat Malaysia yang bangun berdemonstrasi dalam himpunan Mansuhkan I.S.A 1 Ogos 2009 semalam, kami kagum dengan keberanian rakyat Malaysia tidak kira tua, muda, lelaki dan wanita serta kanak-kanak turun berdemonstrasi bagi menyatakan sokongan supaya akta yang zalim ini dimansuhkan.

Berdasarkan video serta gambar-gambar yang kami lihat melalui internet, jelas gelombang kebangkitan rakyat semakin membara.Kebencian rakyat terhadap akta zalim ini telah sampai ke kemuncak, kami rasa jumlah himpunan semalam tidak kurang dari 50,000 orang.

Namun, apa yang menyedihkan kami ialah keganasan pihak polis yang kini jelas menjadi alat tunggang kerajaan UBN. Apa salah rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka tentang akta yang zalim ini? Di manakah hak rakyat sebagaimana yang disebut dalam perlembagaan? Tindakan pihak polis jelas sudah terbalik, mereka bukan lagi menjaga keamanan rakyat Malaysia tetapi mereka menjaga keamanan pemimpin UBN.

Tahniah juga kepada pimpinan kita yang turun bersama dalam demo semalam, inilah yang dikatakan pemimpin, sanggup bersama rakyat dalam menghadapi kejahatan dan kezaliman kerajaan UBN. Aski keganasan pihak polis yang tidak dapat kami anak-anak Malaysia di bumi Mesir lupakan ialah cubaan anggota polis untuk menahan ahli Parlimen Kuala Krai YB Dr Hatta Ramli, ternyata betapa kurang ajarnya mereka sannggup bertindak sedemikian dengan seorang ahli Parlimen sehingga terkoyak baju yang dipakai oleh YB Dr Hatta. Dan ikuti Luahan Dato' Zaid Ibrahim yang turut sama berdemonstrasi semalam.

Ingat wahai pemimpin UBN ! Jangan kamu ingat kami rakyat akan terus berdiam diri...setiap tenaga, peluh, keringat dan kemungkinan ada darah rakyat yang menitis yang menitis semalam hasil dari kejahatan dan kezaliman kamu...rakyat akan terus bersuara sehingga akta yang zalim ini dihapuskan..Sesungguhnya akan kami rakyat Malaysia akan ajar kamu dalam Piliharaya Umum ke 13 nanti...Tunggulah saat dan ketikanya kejatuhan kamu wahai pemimpin UBN yang angkuh lagi sombong...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." [ ali-Imran - 26 ]


HIDUP..HIDUP..HIDUP RAKYAT !!!

MANSUH..MANSUH..MANSUH ISA !!!

HIDUP..HIDUP..RAKYAT !!!

HAPUS..HAPUS..HAPUS..KEZALIMAN !!!

TAKBIR !!! ALLAHUAKBAR !!! TAKBIR !!! ALLAHUAKBAR !!!
TAKBIR !!! ALLAHUAKBAR !!!


Berikut di bawah adalah gambar-gambar perhimpunan semalam, nilailah saudara-saudari tepuk dada tanya Iman..!!! HANCUR UBN !!!























Read More......