Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger


widget

.:: KEPIMPINAN ULAMA' ::.

Photobucket

.:: TV PR ::.


Photobucket

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:


.:: TENTANG DIRIKU ::.

Tadika Chung Hwa, Kota Bharu [ 1986 ]
SRJK (c) Chung Hwa, Kota Bharu [ 1987 - 1990 ]
Sek. Keb. Rambutan Rendang, Kota Bharu [ 1990 - 1993 ]
Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu [ 1994 - 1996 ]
SMA Sungai Merab Luar Sepang, Selangor [ 1997 -1998 ]
Darul Quran Wal Hadis, Pasir Pekan [ 1999 - 2001 ]
Maahad 'Ali Dirasat Islamiah Wal Arabiah, Perak [ 2002 ]
Universiti Al-Azhar Cawangan Tanta, Mesir [ 2003 - 2009 ]

Sunday, November 2, 2008

Mari Mengenali Ulama...

Dr. Wahbah az-Zuhayli

Dr. Wahbah az-Zuhayli merupakan seorang tokoh ulamak abad ke-20 yang terkenal dari Syria. Namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha’ yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-20 seperti Tahir Ashur yang mengarang tafsir Al-Tahrir wa al-Tanwir, Sa’id Hawwa pengarang kitab Asas fi al-Tafsir dan as-syahid Sayyid Qutb, penulis kitab Fi Zilal al-Qur’an. Sementara dari kelompok fuqaha’ mu’assirin, namanya sebaris dengan Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Mahmud Shaltut, Dr. Ali Muhammad Al-Khafif, Abdul Ghani Abdul Khaliq dan Muhammad Salam Madkur.


Prof. Dr. Wahbah az-Zuhayli dilahirkan di desa Dir Atiyyah, daerah Qalmun, Damsyiq, Syria pada 6 Mac 1932M/1351H. Beliau lahir dan membesar di dalam sebuah keluarga yang sangat mementingkan didikan agama dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Bapanya Syeikh Mustafa az-Zuhayli merupakan seorang yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaan. Bekerja sebagai petani dan peniaga untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya untuk menuntut ilmu dan juga seorang hafiz yang sentiasa mementingkan hafalan al-Qur’an dan cintakan sunnah Rasulullah s.a.w. Ibunya pula bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa’adah; merupakan seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Ibunya yang dikasihi ini meninggal dunia pada 13 Mac 1984.

Dr. Wahbah telah mendirikan rumahtangga dengan anak seorang ulama yang terkenal di Syria. Hasil per-kongsian hidup mereka telah dikurniakan lima orang cahaya mata, tiga lelaki dan dua perempuan (Ubadah, Usamah, Manaf, Nada, Huda). Tiga orang daripadanya; doktor perubatan dan Farmasi sementara yang lain masih meneruskan pengajian.

Pengajian dan Pendidikan

Setelah menamatkan pengajian peringkat rendah di kampungnya, Dr. Wahbah az-Zuhayli melanjutkan pengajian di peringkat menengah dalam bidang syariah di Damsyik selama enam tahun dengan memperolehi pangkat Imtiaz pada tahun 1952. Pada masa yang sama, beliau juga memperolehi Ijazah Am Thanawi dalam bidang kesusasteraan. Berbekalkan semangat dan kesungguhan yang tinggi beliau seterusnya menyambung pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir.

Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah di beberapa universiti dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ijazah yang diperolehinya adalah seperti berikut :

i. Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956.Mendapat tempat pertama dari kalangankeseluruhan pelajar.

ii. Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957

iii. Ijazah B.A Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.Dalam masa lima tahun beliau telah memperolehi tiga ijazah dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kaherah selama dua tahun dan tamat pada tahun 1957. Tajuk tesis peringkat M.A ini ialah al-Zira’i fi al-Siyasah al-Shar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami Pada tahun 1963 beliau telah memperolehi ijazah kedoktoran di dalam bidang kehakiman (Syariah Islamiah) dengan pengiktirafan tertinggi ‘As-Syarf Ula’ dari universiti tersebut atas kejayaan beliau menghasilkan tesis penulisan yang bertajuk ‘Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami’-Kajian Perbandingan di bawah penyeliaan Dr. Muhammad Salam Madkur.

Dari sini jelas kepada kita, kegigihan Dr. Wahbah az-Zuhayli dalam pelajarannya pada setiap peringkat sejak di kolej Syari’ah Damsyik sehinggalah beliau melanjutkan pelajarannya ke Mesir, memperolehi beberapa ijazah serentak dalam satu masa dan menjadi pelajar terbaik pada masanya. Gabungan pengajian syari’ah dan undang-undang membolehkan Dr. Wahbah dapat memahami realiti semasa dengan mudah.

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Muhammad Hashim al-Khatib asy-Syafie (m.1958), seorang khatib di Masjid Umawi. Beliau belajar darinya fiqh asy-Syafie; mempelajari ilmu fiqh dari Abdul Razaq al-Hamasi (m.1969M); ilmu Hadis dari Mahmud Yassin (m.1948M); ilmu Faraid dan Wakaf dari Judat al-Mardini (m.1957M), Hassan al-Shati (m.1962M), ilmu Tafsir dari Hassan Habnakah al-Midani (m.1978M), ilmu bahasa Arab dari Muhammad Soleh Farfur (m.1986M), ilmu Usul Fiqh dan Mustolah Hadith dari Muhammad Lutfi al-Fayumi (m.1990M), ilmu Akidah dan Kalam dari Mahmud al-Rankusi.

Sewaktu beliau berada di Mesir, beliau juga sempat bermusohabah menuntut ilmu dengan beberapa ulama di sini dalam usaha menambah thaqafah ilmiahnya, antaranya

termasuklah; Syeikh Muhammad Abu Zuhrah (m.1395H), Syeikh Mahmud Syaltut (m.1963M), Syeikh Abdul Rahman Taj, Isa Manun (1376H), Syeikh Ali Muhammad Khafif (m.1978M), Syeik Jad Rabb Ramadhan (m.1994M), Syeikh Abdul Ghani Abdul Khaliq (m.1983M), Syeikh Muhammad Hafiz Ghanim, Syeikh Faraj as-Sanhuri, Syeikh Mohd al-Banna dan Dr. Mohd Salam Madkur

Di samping itu, beliau amat terkesan dengan idea penulisan beberapa tokoh seperti Abdul Rahman Azam yang mengarang ‘al-Risalah al-Khalidah’ dan buku karangan Abu Hassan an-Nadwi berjudul ‘Madha Khasira al-‘alam binkhitat al-Muslimin’.

Di antara murid-murid beliau ialah Dr. Abdul Satar Abu Ghudah, Dr. Muhammad az-Zuhayli, Dr. Muhammad Naim Yassin, Dr. Muhammad Abu Faris dan Dr. Muhammad Abu Lail.

Tugas dan Kerjaya

Prof Dr. Wahbah az-Zuhayli mula membina kariernya di sektor pendidikan,di mana beliau telah menjadi pensyarah di beberapa universiti di rantau Arab. Beliau turut aktif dan sering kali diberi kepercayaan menganggotai beberapa organisasi dan pertubuhan Islam di seluruh dunia. Antara pekerjaan dan tugas utama beliau termasuklah:

-Pensyarah di Universiti Damsyik, tahun 1963-1975.
-Pensyarah di Universiti Banghozi, Libya tahun 1972-1974.
-Pensyarah di Kuliah Syariah dan Undang-undang Univesiti Emerites, tahun 1984-1989.
-Pensyarah di Universiti Qatar dan Kuwait, tahun 1989-1990.
-Dekan kuliah di Universiti Damsyik, tahun 1967-1970.
-Ketua Jabatan Fiqh Islami dan Mazhab di Universiti Damsyik, tahun 1989.
-Ketua Jabatan Islamiah di kuliah Syariah dan Undang-undang di Emerites.
-Anggota Lajnah Pengkaji Hal Ehwal Islam dan sidang pengarang majalah Nahju al-Islam di bawah Kementerian Wakaf Syria.
-Anggota Majlis Tertinggi Fatwa di Syria.
-Anggota Penasihat Persidangan Fiqh Islami di Jeddah, Makkah dan India.
-Timbalan Ketua Persidangan Fuqaha’ Syariah di Amerika, tahun 2002.

Di samping itu, beliau juga turut menyampaikan khutbah Jumaat sejak tahun 1950 terutama di Masjid Uthman di Damsyiq dan Masjid al-Iman di Dir Atiyyah, menyampaikan ceramah di masjid, radio dan televisyen serta di seminar-seminar dalam segala bidang keilmuan Islam.

Dr.Wahbah Az-Zuhayli di mata rakan-rakannya

Syeikh Said Ramadhan al-Buti mengenalinya sejak tahun 1954 di Universiti al-Aِzhar. Pada ketika itu, beliau mengenali Dr.Wahbah Az-Zuhayli melalui dua perkara iaitu melalui pemakaian serban putih yang mana pada masa itu agak janggal di Mesir. Keduanya melalui cara berjalan yang cergas, tegap dan cepat dalam setiap waktu dan suasana.

Hubungan persahabatan yang terjalin bertambah akrab apabila mereka mula bertugas di Universiti Damsyiq pada tahun 1965.Keakraban antara mereka berdua adalah disebabkan dua perkara iaitu Syeikh Said Ramadhan al-Buti merupakan antara orang yang pertama membaca risalah Ph.D Dr. Wahbah az-Zuhayli yang diperolehi dari Universiti Kaherah. Keduanya beliau mendapati pada diri Dr. Wahbah Az-Zuhayli akhlak yang mulia sama ada dari segi ibadat dan pandangannya yang sederhana dan tidak menyalahi pendapat jumhur ulamak yang masyhur. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang ikhlas dan tidak meng-harapkan habuan dunia. Syeikh Said Ramadhan al-Buti mengakui kelebihan Dr. Wahbah az-Zuhayli sebagai seorang yang gigih mengarang terutama dalam menyiapkan Tafsir al-Munir yang melebihi 32 juzuk sebanyak 16 jilid dalam masa lima tahun semasa bertugas di Emiriyyah Arab Bersatu (UAE).

Menurut adiknya, Muhammad al-Zuhayli, beliau seorang yang mempunyai disiplin diri yang tinggi dari segi waktu dan peraturan yang menyebabkan beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh yang amat diberkati Allah swt.

Beliau kurang menyenangi apabila orang melanggar disiplin, temujanji dan melambatkan tugas.

Karya dan Karangan

Dr.Wahbah az-Zuhayli menulis buku, kertas kerja dan artikel dalam pelbagai ilmu Islam. Buku-bukunya melebihi 133 buah buku dan jika dicampur dengan risalah-risalah kecil melebihi lebih 500 tajuk. Satu usaha yang jarang dapat dilakukan oleh ulamak kini sehinggakan beliau digelar as-Suyuthi kedua (as-Sayuthi al-Thani) pada zaman ini, mengambil sempena nama seorang Imam Shafi’iyyah iaitu Imam as-Sayuthi. Antara karya-karyanya adalah seperti berikut :

1. Athar al-Harb fil Fiqh al-Islami - Dirasat Muqaranah (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan), Dar Al-Fikr, Damsyiq, 1963.

2. Al-Wasit fi Usul al-Fiqh, (Ringkasan Usul fiqh), Universiti Damsyiq, 1966.

3. Al-Fiqh al-Islami fi Uslub al-Jadid, (Fiqh Islam dalam Pendekatan Terbaru), Maktabah al-Hadithah, Damsyiq, 1967.

4. Nazariat al-Darurat al-Syar’iyyah (Teori Darurat dalam Syariat), Maktabah al-Farabi, Damsiq, 1969.

5. Nazariat al-Daman, (Teori Jaminan ), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1970.

6. Al-Usul al-Ammah li Wahdah al-Din al-Haq (Asas-Asas Penting dalam Kesatuan Agama yang Benar), Maktabah al-Abassiyah, Damsyiq, 1972.

7. Al-Alaqat al-Dawliah fi al-Islam, (Hubungan Antarabangsa dalam Islam), Muassasah al-Risalah, Beirut, 1981

8. Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh, (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya), (8 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1984.

9. Usul al-Fiqh al-Islami (Usul fiqh) (dua Jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1986.

10. Juhud Taqnin al-Fiqh al-Islami, (Kegigihan Merangka Fiqh Islam), Muassasah al-Risalah, Beirut, 1987.

11. Fiqh al-Mawaris fi al-Shari’at al-Islamiah, (Hukum Pusaka dalam Syariat Islam) Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.

12. Al-Wasaya wa al-Waqf fi al-Fiqh al-Islami, (Wasiat dan Wakaf dalam Syariat Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.

13. Al-Islam Din al-Jihad La al-Udwan, (Agama Islam adalah Agama Jihad bukan Permusuhan), Persatuan Dakwah Islam Antarabangsa, Tripoli, Libya, 1990

14. Al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’at wa al-Manhaj (Tafsir Munir dalam Akidah, Syari’at dan Manhaj), (16 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1991.

15. Al-Qisah al-Qur’aniyyah Hidayah wal-Bayan, (Kisah-Kisah dalam al-Qur’an Petunjuk dan Penerangan), Dar Khair, Damsyiq, 1992.

16. Al-Qur’an al-Karim al-Bunyatuh al-Tasyri’iyyah aw Khasa’isuh al-Hadariah, (al-Quran Asas-Asas Perundangan dan Keistimewaan Tamadun), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1993.

17. Al-Rukhsah al-Syari’at – Ahkamuha wa Dhowabituha, (Kelonggaran Syariat- Hukum dan Prinsip), Dar al-Khair, Damsyiq, 1994.

18. Khasa’is al-Kubra li Huquq al-Insan fi al-Islam, ( Asas-Asas Penting bagi Hak-Hak Manusia dalam Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1995.

19. Al-Ulum al-Syari’at Bayn al-Wahdah wa al-Istiqlal (Ulum Syariah Antara Kesatuan dan Pembebasan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.

20. Al-Asas wa al-Masadir al-Ijtihad al-Musytarikat bayn al-Sunnah wa al-Syiah, (Asas dan Sumber Ijtihad bersama antara Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.

21. Al-Islam wa Tahadiyyat al-‘Asr, (Islam dan Cabaran Semasa), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996

22. Muwajahat al-Ghazu al-Thaqafi al-Sahyuni wa al-Ajnabi, (Serangan Pemikiran Kebudayaan Zionis dan Asing), Dar al-Maktabi, Dmsyiq, 1996.

23. Al-Taqlid fi al-Madhahib al-Islamiah inda al-Sunnah wa al-Syiah, (Taqlid dalam Mazhab Islam menurut ahli Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.

24. Al-Ijtihad al-Fiqhi al-Hadith, (Ijtihad Fiqh Baru), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.

25. Al-Uruf wa al-Adat, (Uruf dan Adat), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.

26. Bay al-Asham, (Penjualan Saham), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.

27. Al-Sunnah al-Nabawiyyah (Sunnah Nabi), Dar al-Maktabi Damsyiq, 1997.

28. Idarat al-Waqaf al-Khairi, (Pengurusan wakaf Kebajikan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.

29. al-Mujadid Jamaluddin al-Afghani, (Mujadid Jamaluddin al-Afghani), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998

30. Taghyir al-Ijtihad, (Perubahan Ijtihad), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.

31. Tatbiq al-Syari’at al-Islamiah (Pelaksanaan Syariat Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.

32. Al-Zara’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami, (Zara’i dalam Siyasah Syar’iyyah dan Fiqh Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1999.

33. Tajdid al-Fiqh al-Islami, (Pembaharuan Fiqh Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000.

34. Al-Thaqafah wa al-Fikr, (Keilmuan dan Pemikiran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.

35. Manhaj al-Da’wah fi al-Sirah al-Nabawiyah, (Manhaj Dakwah dalam Sirah Nabi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.

36. Al-Qayyim al-Insaniah fi al-Qur’an al-Karim, (Nilai Kemanusiaan dalam al-Quran al-Karim), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.

37. Haq al-Hurriah fi al-‘Alam, (Hak-hak Kebebasan dalam Dunia Kini), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000

38. Al-Insan fi al-Qur’an, (Kemanusiaan dalam al-Quran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.

39. Al-Islam wa Usul al-Hadharah al-Insaniah, (Islam dan Asas Tamadun Kemanusiaan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.

40. Usul al-Fiqh al-Hanafi, (Usul fiqh Mazhab Hanafi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.

41. Usul al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr 2005

42. Mukhtasor Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr 2006

43. Qowaid Fiqhiyyah A’la Mazahib al-Arba’ah, Dar al-Fikr, 2007.

Disamping itu, sebahagian karya-karya beliau turut diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa antaranya; ‘Tafsir Munir’, Usul Feqh Islami, Aatharul Harbi, Al-Fiqh Islam wa Adillatuhu, Al-Mustafa fi Ahadisi al_Mustafa, Al-Wajiz fi Usul Feqh.

Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan lagi akan ketokohan dan kebijaksanaan yang dikurniakan kepada beliau selaku pewaris para Anbiya’ di zaman ini dan syi’ar Islam pada akhirnya akan terus terpelihara dan dijaga oleh Allah s.w.t. melalui para pembela khazanah keilmuan Islam dari generasi ke generasi untuk sepanjang zaman.

0 comments: