Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger


widget

.:: KEPIMPINAN ULAMA' ::.

Photobucket

.:: TV PR ::.


Photobucket

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:


.:: TENTANG DIRIKU ::.

Tadika Chung Hwa, Kota Bharu [ 1986 ]
SRJK (c) Chung Hwa, Kota Bharu [ 1987 - 1990 ]
Sek. Keb. Rambutan Rendang, Kota Bharu [ 1990 - 1993 ]
Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu [ 1994 - 1996 ]
SMA Sungai Merab Luar Sepang, Selangor [ 1997 -1998 ]
Darul Quran Wal Hadis, Pasir Pekan [ 1999 - 2001 ]
Maahad 'Ali Dirasat Islamiah Wal Arabiah, Perak [ 2002 ]
Universiti Al-Azhar Cawangan Tanta, Mesir [ 2003 - 2009 ]

Sunday, August 30, 2009

Memahami Hakikat Kemerdekaan Berpandukan Sirah Nabi S.A.W



Esok adalah tarikh yang tidak pernah luput dari ingatan setiap rakyat Malaysia, 31 Ogos adalah tarikh sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi negaraku tercinta, ia disambut saban tahun dan buat kali pertama sambutan pada tahun ini diadakan di perkarangan Bangunan Parlimen Malaysia.


Realiti Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan kini


Hakikat sebenar kemerdekaan mengikut kacamata Islam, ialah membebaskan manusia dari pengabdian sesama makhluk kepada Al-Khaaliq (Allah).

Jika dilihat dalam konteks negara kita, apakah kita berusaha ke arah itu? Rakyat dipaksa untuk menyokong pemerintah jika hendakkan bantuan bagi mengatasi bebanan hidup. Ugutan ini jelas bertentangan dengan hakikat kemerdekaan yang dianjur oleh Islam, adakah mereka (pemerintah) lupa bahawa tanggungjawab dan amanah yang mereka pundak sekarang akan menjadi bebanan di akhirat nanti? Sedarlah wahai pemimpin negaraku, kembalilah segera selagimana pintu taubat itu masih terbuka luas.


Hiburan yang melalaikan

Setiap kali sambutan kemerdekaan, rakyat sentiasa dihidangkan dengan acara hiburan yang berlebih-lebihan, hasilnya akan merosakkan minda dan akhlak muda-mudi yang hanyut dengan hiburan yang kadang-kadang tidak ada kaitan langsung dengan maksud kemerdekaan. Bagi penganjur acara sambutan, maksud kemerdekaan yang mereka fahami adalah dengan mereka bebas untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah s.w.t. Na'uzubiLLAH

Adakah generasi begini yang diharapak ( gambar hiasan )

Pelbagai tema dan motto sambutan ditonjolkan setiap tahun, namun ianya langsung tidak memberi apa-apa kesan yang mendalam kepada rakyat kerana mereka mabuk dek acara hiburan yang melampaui batas agama dan adat. Kaedah mendidik rakyat dengan membelakang ajaran al-Quran dan as-Sunnah, maka natijahnya akan melahirkan masyarakat yang rosak akhlak dan hidup penuh dengan kesesatan.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:- "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku."

Ianya telah dijanjikan oleh Nabi s.a.w sendiri kepada umatnya, namun apa yang menyedihkan ia diketepikan. Sesat di sini bukan hanya terlibat dengan ajaran sesat sahaja, tetapi jika kita mengaku sebagai muslim dan tidak menghiraukan ajaran agama maka kita juga dikatakan berada dalam kesesatan. Ulama yang menyatakan kebenaran diperlekeh dan difitnah sebaliknya ulama yang menyembunyikan kebenaran dijulang, inilah fitnah akhir zaman yang melanda umat Islam kini.

Pengajaran Dari Sirah Nabi s.a.w dan Sahabat r.a.


Sirah Nabi s.a.w dan para sahabat r.a banyak menyingkap kepada kita semua akan hakikat sebuah kemerdekaan yang dituntut oleh Islam, Peristiwa hijrah itu sendiri menjelaskan bahawa untuk mencapai kemerdekaan yang hakiki haruslah membebaskan diri dari pengabdian sesama makhluk kepada Al-Khaliq. Kehidupan di Kota Mekah sangat menyeksakan buat mereka, sehingga turunnya perintah dari Allah kepada Rasulullah s.a.w supaya berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dengan penuh ketaatan mereka berhijrah meninggalkan tanahair tercinta demi untuk memerdekakan diri dari belenggu jahiliyah dan kesesatan. Namun ianya tidak berhenti begitu sahaja, Nabi s.a.w berjaya mendirikan sebuah kerajaan di Madinah serta membina kekuatan berasaskan iman dan taqwa kepada Allah. Akhirnya mereka berjaya membebaskan dan memerdekakan Kota Mekah.

Peristiwa pembukaan Kota Mekah sangat masyhur dalam sejarah Islam dan dirakamkan oleh Allah dalam surah An-Nasr:-


"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah) [1], Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai [2], Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat [3]."


Sesungguhnya jika kita menjadi ajaran Islam sebagai tatacara kehidupan, maka insyaAllah taala hidup kita akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Bersempena dengan bulan ramadhan yang barakah ini, marilah kita menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ini dengan penuh tawaduk serta menjadikan sirah Nabi s.a.w dan sahabat r.a sebagai pengajaran yang sangat berguna untuk memahami hakikat kemerdekaan yang sebenarnya. Wallahu'alam..

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KALI KE 52
dari Rakyat Prihatin, IBNUR RAHMAT

Read More......

Friday, August 28, 2009

Tazkirah Ramadhan...


PUASA DAN PENGENALAN TAQWA


Assalamualaikum...

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, sudah seminggu kita menjalani ibadah puasa. Semoga ramadhan kali ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:-

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu ibadat puasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada mereka-mereka sebelum daripada kamu, semoga kamu dikalangan mereka-mereka yang bertaqwa."[al-Baqarah: 183]

Allah s.w.t merangkumkan kewajipan ibadat puasa dengan taqwa mengambarkan betapa besarnya kelebihan ibadat puasa di sisi Allah s.w.t, sehingga Allah menyebutkan barang siapa yang berpuasa dalam ertikata bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mengawal diri dan nafsu dari melakukan maksiat terhadap Allah adalah dikalangan mereka yang bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaanNya.

Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya makam taqwa di sisi Allah dan betapa beratnya timbangannya dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa serta salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa.

Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Takrif Taqwa

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” [At-Tahrim: 6]

Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan. Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata lain, perkara yang disuruh itu ialah membinasifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Perkataan Taqwa dalam al-Quran

Terdapat banyak perkataan taqwa dalam al-Quran antara surah yang paling banyak perkataan taqwa ialah surah Baqarah, Maidah dan syu'ara, Apa yang penting di sini sejauhmanakah kefahaman kita dengan taqwa dalam setiap ayat yang difirmankan oleh Allah s.w.t?

Pandangan ulama berkenaan dengan taqwa antaranya:

- Saidina Ali berkata: Taqwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.

- An-Nasr Abazi berkata: Taqwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah.

- Abu Bakar Muhammad ar-Rauzabari berkata: Taqwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.

- Talq bin Habib berkata: Taqwa ialah amalan dengan ketaatan Allah atas cahaya Allah.

- Abu Hafs berkata: Taqwa hanya pada halal semata-mata dan bukan yang lain.

- Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: Bagi taqwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan serta batinnya dengan niat dan ikhlas.

- Abu al-Husein al-Zanjani Rahimahullah berkata: Siapa yang modalkan hartanya taqwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.

- Al-Wasiti Rahimahullah berkata: Taqwa ialah seseorang memelihara dari takwanya yakni dari melihat ketaqwaannya.

- Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: Taqwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.

- Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab sebutkan ciri-ciri taqwa kepadaku? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hari bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah ketaqwaan.

sesungguhnya taqwa kepada Allah adalah pengawal diri manusia dari melakukan maksiat terhadap Allah s.w.t, maka hasil daripada taqwalah membentuk peribadi manusia agar menjadi seorang hamba yang beriman, beramal soleh, bersikap terpuji dan sentiasa akur dengan perintah serta larangan Allah s.w.t. Islam sahaja dalam diri seseorang itu masih belum mencukupi, apa yang perlu ialah menjadi seorang muslim, mukmin dan muttaqin.

Dengan ketaqwaanlah maka segala penyakit sosial dalam masyarakat kita kini, sikap taqwa perlu ada dala setiap diri seorang muslim, tidak kira dia seorang pemimpin, rakyat jelata atau sesiapa sekalipun. Masyarakat kini dilanda penyakit yang berbagai-bagai akibat kurangnya rasa taqwa kepada Allah, sebagai contoh gejala wabak H1N1 adalah salah satu contoh bala yang Allah s.w.t turunkan kepada kita kerana kelalaian dan kealpaan kita terhadap ketaqwaan kepada Allah. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:-

"Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." [Al-Baqarah: 197]

Apabila kita semua kembali bertemu di hadapan Allah kelak, kita semua harus membawa bekal dan Allah s.w.t telah nyatakan dalam ayat di atas sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa kepada Allah.

Beberapa faktor bagi mendapat ketaqwaan:

* Merasakan pengawasan daripada Allah s.w.t Yang Maha Esa Lagi Maha Tinggi

* Melaksanakan ibadat yang wajib dan juga yang sunat dengan penuh keikhlasan.

* Menjauhi segala maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin seperti riak, ujub, takbur dan lain-lain.

* Sentiasa mengkaji sifat orang yang bertakwa dan sejarah mereka seperti sejarah para anbiya terutamanya sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para salafus salih terutamanya para sahabat.

* Sentiasa berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Pada saat yang sama menjauhi daripada golongan yang fasik dan yang derhaka kepada Allah.

* Banyak tadabbur dan mengkaji ayat-ayat Allah sama ada ayat-ayat kaumiyah (alam) atau pun ayat-ayat maqru’ah (ayat-ayat al-Quran) kerana ia boleh mendatangkan keinsafan dan yang lebih utama membawa kepada makrifatullah. Dengan makrifah seseorang sudah pasti berjalan atas keredaan Allah tanpa merasa goyah dan boleh terpedaya oleh musuh yang nyata yakni syaitan.

Seterusnya kaitan puasa dengan taqwa amatlah sinonim ini kerana orang yang berpuasa bersungguh-sungguh menjaga pantang larang dan melaksanakan adab-adab puasa sama ada yang zahir atau batin selaras dengan saranan Rasulullah.

Justeru puasa amat mudah untuk menatijahkan taqwa yang akan menjadi kemuncak perhambaan manusia kepada Tuhannya.

Firman Allah lagi yang bermaksud:-

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)."(Al-Hujuraat: 13)

Dapat kita lihat betapa tingginya darjat taqwa di sisi Allah, untuk mencapai syurga Allah yang maha Agung, maka tidak dapat tidak kita harus sentiasa berusaha untuk mencapai darjat dan martabat taqwa sebagaimana janji Allah dalam al-Quran yang bermaksud:-

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini."[An-Naba': 31]
"(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur."[An-Naba': 32]
"Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya."[An-Naba': 33]
"Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman."[An-Naba': 34]
"Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta."[An-Naba': 35]
"Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)."[An-Naba': 36]

SubhanaLLAH! Sungguh hebat nikmat yang Allah janjikan kepada hambanya yang bertaqwa. Dengan taqwa seolah-olah manusia mendapat pelbagai jenis keistimewaan sehingga Imam al-Ghazali menyebut didalam kitabnya Minhaj al-Abidin antaranya:

* Mendapat sokongan dan dokongan daripada Allah.

* Dikurniakan kemudahan dalam kehidupan.

* Dimurahkan rezeki.

* Dimenangkan ke atas musuh.

* Diberi hidayah dan taufik.

* Dikurniakan syurga pada hari akhirat.

* Diselamatkan daripada neraka.

Oleh itu, marilah sama-sama meningkatkan prestasi ibadat puasa kita untuk mencapai ketaqwaan dan dengannya kita menjadi golongan yang meraih kebahagiaan dunia seterusnya merentasi akhirat. Wallahu'alam

Read More......

Mari Mengenali Ulama Nusantara...


HJ UMAR BESUT KETURUNAN BANGSAWAN PATANI


Haji Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu

Gambar hiasan

Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293 Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi) Beliau meninggal dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5 Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.

Pada namanya terdapat istilah "Cik Wan" atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak memerintah negeri. Istilah 'Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah 'Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu kekeluargaan. 'Wan' sudah lupus haknya untuk menjadi raja dalam Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Negara Patani.

Daripada datuk nenek ulama inilah yang mencetuskan nama 'Besut', yang sekarang berada dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut 'sut', ertinya tidak ada lagi sesudahnya atau penghabisan, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.

Cik Wan yang berasal dari Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang berada di dalamnya.

PENDIDIKAN

Haji Umar memperoleh pendidikan asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung hingga yang lebih atas.

Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Ahmad al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak, maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.

AKTIVITI

Setelah Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut. Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.

Sistem pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok beliau.

Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau. Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan Mahalli.

Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan, Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.

Umar Besut selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab, beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun ada orang menafikan Tuan Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.

Selain yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.

KETURUNAN DAN MURID-MURID

Umar Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad. Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama. Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac 2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu menurutnya sangat banyak keistimewaannya.

Perkahwinan Umar Besut dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Ustaz Haji Abdul Aziz adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah agama di Kelantan.

Sebagai guru pengajian pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan. Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.

Read More......