Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger


widget

.:: KEPIMPINAN ULAMA' ::.

Photobucket

.:: TV PR ::.


Photobucket

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:


.:: TENTANG DIRIKU ::.

Tadika Chung Hwa, Kota Bharu [ 1986 ]
SRJK (c) Chung Hwa, Kota Bharu [ 1987 - 1990 ]
Sek. Keb. Rambutan Rendang, Kota Bharu [ 1990 - 1993 ]
Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu [ 1994 - 1996 ]
SMA Sungai Merab Luar Sepang, Selangor [ 1997 -1998 ]
Darul Quran Wal Hadis, Pasir Pekan [ 1999 - 2001 ]
Maahad 'Ali Dirasat Islamiah Wal Arabiah, Perak [ 2002 ]
Universiti Al-Azhar Cawangan Tanta, Mesir [ 2003 - 2009 ]

Thursday, January 1, 2009

Mari Mengenali Ulama...



‘ SEJARAH DAN PERJUANGAN ’

Syeikhul Azhar Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.h.m.

Pengenalan


Dr. Abdul Halim Mahmud dilahirkan di Kampung Abu Hamd yang terletak di Bandar Bilbis di Muhafazah Syarqiyyah, Mesir pada 2 Jamadil Awwal 1328H bersamaan 12 Mei 1910M. Dibesarkan di dalam lingkungan keluarga yang mulia dan amat menitikberatkan soal agama bahkan terkenal dengan taqwa dan akhlak mulia. Keturunan beliau sampai kepada Rasulullah s.a.w. melalui cucu baginda, Husain r.a. Beliau telah dididik dengan al-Qur’an dan selesai menghafaz keseluruhannya sejak kecil lagi. Walau bagaimanapun, usianya yang masih muda menghalang beliau daripada terus me-masuki al-Azhar.

Awal pengajian

Kecintaan beliau kepada ilmu pengetahuan amat jelas terserlah. Pada tahun 1923, beliau telah bertolak ke Kaherah bersama ayahnya untuk mendaftarkan diri bagi pengajian sekolah rendah di al-Azhar. Dua tahun kemudian, beliau bertukar ke Maahad Zaqziq. Kesungguhan beliau dalam bidang ilmu telah mendorong beliau memasuki Maahad Perguruan. Kehebatannya dapat dilihat ketika berada di peringkat sekolah rendah, beliau telah belajar sendiri untuk pengaji-an peringkat menengah kemudian mengambil peperiksaaan serta lulus sehingga membolehkan-nya memasuki peringkat pengajian yang lebih tinggi di al-Azhar. Pengajian yang sepatutnya dihabiskan dalam tempoh tiga tahun berjaya dihabiskan dalam tempoh satu tahun sahaja.

Belajar di al-Azhar

Pada tahun 1928, beliau meneruskan pengajian di Universiti al-Azhar ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Ketika itu, pengajian di al-Azhar belum dibahagikan mengikut fakulti tertentu. Syeikh Abdul Halim juga telah menama kan guru-gurunya yang amat disanjung oleh beliau ketika pengajiannya di Univesiti al-Azhar. Antaranya ialah: Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Hamid Meheisen, Syeikh al-Zankaloni, Syeikh Muhammad Abdullah Daraz, Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi dan Syeikh Mustafa Abdul Raziq. Beliau juga telah mengambil bahagian menyertai pertubuhan Islam ketika masih men-jadi seorang pelajar. Antara pertubuhan tersebut ialah Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin dan juga Jam’iyyah al-Hidayah al-Islamiyyah yang dipengerusikan oleh Syeikh Muhammad al-Khidir Husain. Pada tahun 1932, beliau telah berjaya mem peroleh Syahadah ‘Alamiyyah daripada al-Azhar.

Melanjutkan Pengajian ke Luar Negeri

Seterusnya, Syeikh Abdul Halim menyambung pengajian ke Universiti Sorbonne di Perancis dengan ditemani isterinya. Ketika di sana, beliau telah memanfaatkan kebijaksanaannya dengan menggabungkan antara ilmu-ilmu agama dengan ilmu-ilmu barat. Disiplin dan jati diri yang kukuh di manfaatkan sepenuhnya untuk hidup di perantauan demi menuntut ilmu pengetahuan. Bahkan keiman- an yang kental kepada Allah s.w.t. membuktikan kehebatan beliau sehingga mampu untuk menjaga dan memelihara adab-adab Islam walaupun dikelilingi dengan pelbagai pengaruh buruk masya- rakat barat. Beliau telah lahir sebagai graduan universiti tersebut pada tahun 1937 manakala pada tahun berikutnya, Syeikh Abdul Halim telah mula mengambil Ph.D. Antara cabaran terbesar yang ter-paksa dihadapi oleh beliau ialah kecenderungan orientalis-orientalis di sana yang amat kuat menentang Islam.

Tidak cukup dengan itu, kecekalan beliau ter-uji lagi dengan peperangan yang telah meletus. Penyelia beliau, Masignon telah meninggalkan beliau keseorangan ketika fasa terakhir Ph.Dnya untuk pergi berjuang menentang Jerman. Namun, tragedi buruk ini tidak mampu untuk melunturkan semangat beliau. Beliau tetap menumpukan pelajarannya dan telah berjaya memperoleh ijazah Ph.D pada tahun 1940 melalui tesis beliau yang berkait dengan Tasawuf Islam. Topik yang dibawa ialah peribadi al-Harith bin Asad al-Muhasibi. Kesannya, gaya hidup dan keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh tokoh sufi yang ulung ini.

Suasana perang ketika itu menyebabkan beliau terputus hubungan dengan negaranya. Kesukaran hidup yang dialami oleh beliau terubat apabila takdir menentukan pihak universiti mengarahkan agar tesis kajian beliau dicetak untuk menyara kehidupannya. Ini merupakan satu penghormatan yang jarang berlaku.

Beliau telah berusaha untuk kembali ke tanah air. Akan tetapi jalan-jalan masuk ke Mesir telah ditutup menyebabkan beliau terpaksa berpindah randah selama setahun untuk pulang ke negaranya.

Memulakan kerjaya

Syeikh Abdul Halim telah memulakan sesi pengajarannya sebagai profesor di Fakulti Bahasa Arab. Kemudian dipindahkan ke Fakulti Usuluddin pada tahun 1951. Pada tahun 1964 pula, dilantik menjadi dekan di fakulti tersebut. Pada waktu itu, beliau telah mewajibkan anak-anak muridnya menghafaz al-Qur’an. Syeikh Abdul Halim terkenal sebagai seorang intelek Islam yang mempunyai ilmu yang amat luas. Jiwanya yang lembut lebih cenderung ke arah sufi dan zuhud.

Ujian

Pada awal tahun 1960an, gelombang anti al-Azhar telah menguasai media Mesir. Gelombang ini telah sampai ke kemuncaknya apabila seorang Pegawai Tinggi Kerajaan Mesir bertindak mem-fitnah al-Azhar. Sebagai tindakbalas, Syeikh Abdul Halim terus berhenti memakai pakaian Eropah dan mengantikannya dengan pakaian al-Azhar. Beliau juga mengarahkan agar rakan-rakannya untuk bertindak sedemikian.Beliau tahu bahawa gelombang ini ialah kesinambungan dari pada kebencian Eropah terhadap Islam. Detik-detik itu juga telah menyaksikan penulis-penulis sosialis menyerang sejumlah besar ulama al-Azhar di dalam akhbar-akhbar mereka. Bahkan, Syeikh Abdul Halim sendiri tidak terkecuali.

Usaha-usaha yang dijalankan

Syeikh Abdul Halim memainkan peranan yang besar dalam membentuk semula undang-undang al-Azhar (1961). Beliau ingin
mengembalikan autoriti Syeikhul Azhar dan menyinarkan kembali kegemilangan al-Azhar. Beliau telah berjaya dalam usaha tersebut dan disambut gembira oleh rakan-rakan Azhari.

Pada tahun 1969, Syeikh Abdul Halim telah dilantik menjadi Setiausaha Agung Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah. Beliau telah mencurahkan jasa yang besar dan bermakna ketika bertugas di situ. Jihad beliau bukan hanya melalui khutbah dan syarahan semata-mata, malah beliau telah melakukan pembaharuan dengan membentuk beberapa jawatankuasa dalam usaha untuk menggiatkan dakwah Islam. Antaranya:

1.Jawatankuasa Kajian al-Qur’an: menjalankan usaha menyiapkan tafsir al-Qur’an secara ringkas bagi menjelaskan makna ayat-ayat suci al-Qur’an.
2.Jawatankuasa Sunnah Nabawi: menyediakan Ensiklopedia al-Hadis.
3.Jawatankuasa Masjid al-Aqsa: menghimpunkan idea dan setiap perkara yang berfaedah dalam menangani isu Palestin.
4.Jawatankuasa Pengenalan Islam: bertindak menolak segala isu yang dibangkitkan dan dirancang oleh Kristian.
5.Jawatankuasa Pembangunan Warisan Islam: bertugas meneroka dan menghidupkan
kitab-kitab warisan Islam (Turath Islami).
6.Jawatankuasa Kajian Ilmu Fiqh: bertugas menghadapi segala bentuk pembaharuan yang berlaku mengikut peredaran zaman.
7.Jawatankuasa Ketamadunan dan Kemasyarakatan Islam: mengkaji Dunia Islam dan menjelaskan segala faedah yang tersurat dan tersirat.
8.Jawatankuasa Akidah dan Falsafah: mengkaji segala cabaran atau penyelewangan yang berlaku di dalam ilmu akidah dan falsafah.
9.Jawatankuasa Ruang Lingkup Maklumat Islam: mengendalikan ruang lingkup sesuatu maklumat mengikut cara Britain.

Muktamar yang telah berlangsung ketika beliau menjawat jawatan tersebut telah bersetuju agar sebidang tanah di Madinah Nasr dikhususkan untuk Bangunan Pejabat Urusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyah.

Seterusnya, beliau dilantik menjadi wakil al-Azhar pada tahun 1970. Pada tahun 1971 pula, beliau telah dilantik untuk memegang portfolio Menteri Waqaf Kerajaan Mesir. Ketika menjawat jawatan itu, beliau cukup mengambil berat tentang masalah yang berkaitan dengan masjid. Maka, beliau telah membina banyak masjid dan memper-baiki masjid-masjid yang bersejarah seperti Masjid ‘Amru Ibn al-‘As yang merupakan masjid tertua di Benua Afrika. Beliau telah menyerahkan urusan masjid tersebut kepada Syeikh Muhammad al-Ghazali. Beliau juga telah membuat kelas-kelas di masjid untuk pelajar-pelajar peringkat rendah dan menengah. Hasilnya, rancangan ini telah berjaya menarik ribuan pelajar untuk pergi ke masjid dan mengikat mereka dengan syiar agama Islam yang mulia.

Dilantik sebagai Syeikhul Azhar

Pada 22 Safar 1393H bersamaan 27 Mac 1973M, Dr. Abdul Halim telah diamanahkan untuk memegang jawatan yang tertinggi di institusi ber- prestij al-Azhar sebagai Syeikhul Azhar. Beliau telah meletakkan satu objektif penting iaitu mengembalikan semula sejarah keagungan al-Azhar. Akan tetapi, pada 17 Jamadil Akhir 1394H bersamaan 7 Julai 1974M, undang-undang yang merendahkan kedudukan al-Azhar telah digubal.

Sebagai tindakbalas, beliau dengan segera menuntut agar undang-undang itu dibatalkan memandangkan ianya menundukkan kehebatan al-Azhar sekaligus menghalang dakwah Islam daripada disebarkan ke Mesir dan seluruh negara Islam. Beliau terus berkeras agar undang-undang tersebut dibatalkan dan enggan pergi ke pejabatnya.

Disebabkan oleh pengaruh beliau yang sangat kuat terhadap al-Azhar dan masyarakat Islam, pihak pemerintah terpaksa akur lalu mem-batalkan undang-undang tersebut. Keputusannya, Syeikhul Azhar kekal sebagai al-Imam al-Akbar yang perlu dirujuk untuk memberikan pandangan dalam segala urusan agama dan diberikan urusan kepimpinan dalam semua urusan pelajaran agama dan bahasa Arab di al-Azhar. Bahkan, Syeikh Abdul Halim kekal memegang jawatan sebagai Syeikhul Azhar.

Cabaran dan perjuangan

Banyak sekolah agama telah didirikan sewaktu beliau memegang jawatan ini. Beliau turut menggesa agar ditubuhkan pertubuhan-pertubuhan Islam. Beliau juga telah menyeru agar semua harta waqaf al-Azhar dikembalikan semula haknya agar pihak al-Azhar dapat mem-bangunkan tugas dakwah dengan lebih sempurna dan teratur. Beliau sedar bahawa beliau ber-tanggungjawab terhadap semua urusan umat Islam.

Sebuah undang-undang berkaitan al-Ahwal as-Syakhsiah cuba dicadangkan oleh Dr. Aisyah tanpa merujuk kepada al-Azhar lalu dituntut pula agar diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan segera. Undang-undang ini meletakkan syarat-syarat terhadap hak-hak seseorang suami yang bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah Islam. Maka, beliau dengan segera menentang nya dan memberi amaran supaya berwaspada daripada terkeluar dari ajaran Islam. Beliau telah menulis surat dan menghantarnya kepada pihak yang bertanggungjawab, ahli-ahli Dewan Rakyat dan akhbar-akhbar. Hasilnya, beliau telah berjaya menghapuskan perancangan hina ini.

Menteri Pengajian dan Pendidikan ketika itu juga meminta pendapat beliau berkenaan cadang-an Baba Shinodah, Ketua Kristian Ortodoks Mesir agar ditulis buku secara bersama untuk dijadikan silibus pelajaran untuk seluruh pelajar Islam dan Kristian dengan alasan kesatuan dan merapatkan hubungan mereka. Malah sebahagian pihak turut bersetuju dengan cadangan ini. Maka, beliau dengan perasaan yang sangat marah dengan lantang menegaskan agar ia dibatalkan. Menteri tersebut tidak dapat berbuat apa-apa melainkan redha dengan kemarahan beliau lalu berkata, “Tidaklah saya datang melainkan semata-mata untuk meminta pendapat tuan dan mengetahui hukum agama. Maka apabila tuan menegaskan pembatalannya, maka saya juga secara langsung menegaskan pembatalannya selepas tuan.”

Pada awal 70an, ideologi komunisme semakin popular dan telah menular di kalangan intelektual dan masyarakat pelajar. Maka, Syeikh Abdul Halim telah menulis buku-buku dan risalah yang panjang yang memberi amaran kepada umat Islam supaya berhati-hati dan berjuang bersungguh -bersungguh untuk membendung ideologi kufur tersebut.

Pada tahun 1975, Pasukan Keselamatan Mesir telah dikejutkan dengan sebuah kumpulan peng- ganas yang dikenali dengan at-Takfir wa al-Hirah selepas daripada peristiwa pembunuhan Menteri Waqaf, Syeikh al-Dhahabi. Maka, Syeikh Abdul Halim telah diarahkan oleh para hakim untuk mem-berikan pandangan al-Azhar dan diisyaratkan agar berfatwa bahawa anggota kumpulan tersebut telah murtad. Walaupun berbeza pendirian dengan kumpulan tersebut, beliau enggan menerima arahan yang memaksa beliau berfatwa sedemikian melain kan setelah beliau mempertimbangkan terlebih dahulu pegangan kumpulan tersebut. Akibatnya, pendirian ini menyebabkan beliau dan al-Azhar seluruhnya diserang teruk oleh media.

Syeikh Abdul Halim prihatin dalam setiap urusan yang melibatkan halal dan haram. Pada waktu itu, terdapat sekumpulan pekerja Syarikat Penerbangan Egypt Air yang enggan bekerja dalam sebarang urusan yang melibatkan arak. Walau bagaimanapun, para pegawai syarikat tersebut tidak mahu mengalah dan para pekerja tidak ada tempat untuk mengadu melainkan kepada Syeikh Abdul Halim. Maka beliau dengan pantas dan tegas menjawab isu tersebut lantas menghantar surat yang bertulis kalam Sayidina Rasulillah s.a.w.:

(لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق)
Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah s.w.t.

Antara seruan beliau yang terhebat ialah seruan secara terbuka ke arah bersegera melaksana kan syariat Islam. Beliau menyeru golongan pemerintah dengan berkata, “Sesungguhnya telah tiba masanya untuk memberi minum sepuas-puasnya kepada kerinduan yang sedang haus di dalam hati dengan meletakkan syariat Allah s.w.t. di kedudukannya yang hakiki supaya Allah s.w.t. menggantikan kesusahan kita dengan kemudahan dan menggantikan ketakutan kita dengan keamanan.”

Beliau telah menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai oleh para ulama al-Azhar untuk mem-berikan penerangan secara terperinci tentang isu penting ini. Jawatankuasa tersebut telah diketuai oleh beliau sendiri walaupun dalam keadaan kesihatannya yang semakin merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Syeikh Abdul Halim juga aktif dalam usaha mengadakan perdamaian antara negara-negara Arab yang bermusuhan. Beliau juga merupakan seorang penulis yang amat berani menyatakan kebenaran tanpa rasa takut untuk dilucutkan jawatan. Beliau telah menulis lebih daripada 60 buah buku. Antara hasil penulisan beliau ialah:

•Al-Islam wa Syuyu’iyyah
•Jihaduna al-Muqaddas
•Al-Iman
•At-Tasawwuf ‘Inda Ibnu Sina
•Falsafah Ibnu Tufail
•At-Tasawwuf al-Islami
•Al-Harith Ibnu Asad al-Muhasibi
•Al-Falsafah al-Yunaniah
•Dalailun Nubuwah wa Mu’jizat ar-Rasul
•Al-Madrasah as-Syaziliyyah al-Hadithah Wa Imamuha Abu al-Hasan as-Syazili.

Beliau lebih cenderung untuk hidup di dalam suasana zuhud dan berkhidmat semata-mata kerana Islam. Syeikh Abdul Halim Mahmud terkenal dengan peribadinya yang tenang dan sabar tetapi serius. Jiwanya tidak pernah kenal erti takut. Lidahnya tidak pernah gentar menyatakan kebenaran.

Kembali kerahmatuLlah

Syeikh Abdul Halim telah menghembuskan nafas yang terakhir pada hari Selasa,15 Zulqaedah 1397H bersamaan 17 Oktober 1978M dengan meninggalkan jasa yang teramat besar di dalam dunia Islam. Ketokohan beliau dalam dakwah dan keberaniaan beliau dalam memasti- kan agar syariat Allah sentiasa terpelihara tidak dapat dinafikan. Pemergian beliau telah mening-galkan kesan yang amat mendalam di hati sanubari seluruh umat Islam. Akhbar Shoutul Azhar yang diterbitkan seminggu sekali menyediakan ruangan khas menyiarkan hasil tulisan beliau yang merupakan warisan ilmu yang tidak ternilai harganya.

Syeikhul Islam Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud merupakan satu mutiara yang sangat berharga, tiada bandingan seumpamanya, menjadi kecintaan seluruh umat Islam. Semoga Allah Yang Maha Suci, mencucuri roh beliau dengan rahmat dan limpahan kasih sayangNya, sebagaiman jiwa asy-Syeikh terus-menerus hidup dengan mencintai Allah s.w.t. dan menempatkan beliau bersama-sama para nabi, syuhada’ dan solihin.

0 comments: